Wednesday, December 26, 2007

BaRzAkH...

Rahmatullahi wa salamuhu 'alaikum wa 'alaina jami'an....

Puji dan Puja untuk yang Maha Esa, selawat dan salam untuk kekasihNYA,ahli keluarga dan para sahabat..


"kenapa gelap gelita sekelilingku?.." "ke mana perginya pembalut tubuhku?"
"binatang apakah ini yang menghampiriku?" "kenapa badanku dihimpit,aahh sakitnya tulang2ku terhimpit!!"

Apakah kita mahu keadaan kubur kita nanti sedemikian rupa??

Ingat dan yakinlah, yang kita semua akan mati dan akan di tempatkan di dalam kubur suatu hari nanti.
Jika kita tidak bersedia untuk itu, tidak membawa bekalan amalam ke sana, leka dengan buaian dunia
yang penuh dengan tipu daya, tidak mengindahkan segala suruhan dan larangan yang Maha Esa,
bertuhankan hawa nafsu, tidak mustahil kita akan berkubur dengan kubur yang demikian rupa..

rumah kedua kita....

Barzakh...alam kedua selepas dunia yang kita semua pasti akan temui dan singgah. Jika baik seseorang
itu di dunia, maka beruntunglah dia di Barzakh nanti. Jika sebaliknya, maka sebaliknyalah jua di Barzakh nanti.

Kita akan bersendirian di alam kubur nanti. Kain kafan yang membalut tubuh kita, akan terbuka.Penghuni tanah akan
keluar mengerumuni kita. Pada masa itu, pada siapakah kita ingin meminta bantuan? Hanya amalan menjadi pembantu
dikala itu. Jika kita persiapkan diri dengan amal soleh di dunia ini, alam kubur kita akan disinari cahaya, kita tidak akan
terasa dihimpit oleh bumi, kita akan rasa selesa hinggalah hari kebangkitan tiba kelak.

Ingatlah, kita semua akan kembali pada pencipta kita.Beramallah sebanyak mungkin. Tetapi ingat, beramallah
mengikut kemampuan dan perintahNYA.

Kita perlu membina mahligai di akhirat baru kita rasa seronok untuk berpindah ke sana dan tenang untuk
meninggalkan dunia ini. Siapakah yang mahu meninggalkan sesuatu tempat yang penuh dengan keselesaan
kepada tempat yang tiada apa2.

Oleh itu, binalah mahligai dan keselesaan di akhirat dengan berbakti kepada Pencipta kita di dunia ini dalam
apa bentuk dan cara sekalipun asalkan mengikut kehendakNYA.

Usah biarkan diri kita leka dengan keselesaan dan kemewahan dunia yang hanya seketika cuma..
Allahu wa rasuluhu a'lam..

syukran jaziilan...

Friday, November 16, 2007

usahlah menambah2...

Salamullahi 'alaina wa 'alaikum jami'an..

Sesungguhnya segala puji dan puja serta syukur hanya layak bagi Allah pencipta sekelian alam. Selawat dan salam buat kekasih kita Muhammad bin Abdullah penutup sekelian nabi dan rasul, ahli keluarga baginda dan para sahabat..



Memadailah dengan apa yang telah digaris pandukan oleh Allah dan RasulNYA
kepada kita melalui al-Quran dan as-Sunnah. Apa yang telah digalaskan ke atas
kita telah pun ditetapkan mengikut kemampuan kita semua.

Islam itu mudah dan tidak susah. Janganlah kita mempermudah2kan ia atau pun
menyusahkan ia.
Mengapa kita harus menambah ke atas segala apa yang telah ditetapkan
oleh Allah kepada kita, sedangkan apa yang telah sedia disuruh Allah ke atas kita,
entahkan telah sempurna peraksaannya entahkan tidak,inikan pula kita mahu
menambahnya. Menambah dalam konteks ini dalam erti kata lain, melampau2 dalam sesuatu
ataupun kita menambah sesuatu itu dengan melebihi haknya.

Sebagai contoh, menghidupkan malam dengan beribadah. Kita tidak biasa dengan amalan ini,
tapi kita baru nak mula berjinak dengan ia. Lalu kita menetapkan ke atas diri kita, dalam
seminggu mesti bangun lima malam. Sedangkan kita tau yang kita tidak mampu.
Sudahnya nanti, kita akan meninggalkannya terus.
Nabi pernah bersabda kepada seseorang dengan berkata : "wahai si fulan, janganlah
kamu menjadi seperti si fulah itu yang dulunya rajin bangun malam tapi sekarang tidak"



Dalam hadith yang lain pula sebagai contoh untuk mereka yang menambah atau melampau ini,
mafhum hadith : segolongan sahabat datang ke rumah isteri nabi dan berkata salah seorang
dari mereka :" aku akan solat sepanjang waktu tanpa berehat", seorang lagi berkata : "aku
akan berpuasa sepanjang masa tanpa berbuka" dan seorang lagi berkata : " aku tidak akan
berkahwin dengan mana2 perempuan". Peristiwa ini sampai ke pengetahuan nabi s.a.w
lalau baginda bersabda yang mafhumnya : " sesungguhnya aku solat dan berehat, aku berpuasa dan berbuka dan aku mengahwini perempuan, sesiapa yang tidak mengikut
sunnahku, maka dia bukan dari golongan ku.."


Di akhirat nanti, semua umat nabi Muhammad s.a.w akan berpeluang
meni'mati air telaga al-kauthar. Mereka akan dipanggil oleh nabi sendiri
untuk minum di telaga ini. Nabi akan kenal umatnya di dalam keramaian
manusia pada waktu itu dengan kesan wudhu' pada anggota wudhu' seseorang itu
dan kesan sujud pada muka seseorang itu.
Terdapat satu golongan pada waktu itu, yang mana golongan ini dari kalangan
umat nabi Muhammad s.a.w dan mempunyai kedua2 kesan wudhu' dan sujud pada
diri mereka. Nabi memanggil mereka datang ke arahnya dan menyuruh mereka
minum dari air telaga al-kauthar itu, tetapi mereka tidak mampu bergerak dan
menyahut panggilan nabi itu.
Lalu malaikat Jibril a.s berkata kepada nabi : "mereka itu bukan umatmu kerana
mereka telah mengubah dan menukar apa yang engkau bawa"
Lalu nabi berkata kepada mereka: "pergi kamu semua dari ku, kalian semua
bukan dari umatku dan aku bukan dari kalian semua"..


Oleh itu, usahlah kita menambah apa yang telah ada dengan penambahan yang tidak
seharusnya kerana penambahan ini telah mengubah apa yang telah ditetapkan syara'.

Biarlah amalam yang kita lakukan itu nampak sedikit tetapi berterusan kerana ianya
jauh lebih baik dari amalam yang banyak tetapi hanya bersifat sementara.
Sabda nabi s.a.w : " amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang berterusan
walaupun ianya sedikit.
Sesungguhnya, nabi sendiri jika membuat sesuatu itu, baginda akan berterusan melakukannya.


Apakah kita ini akan menjadi lebih baik dari nabi dengan menambah2 dan menukar apa
yang telah diajarkan oleh agama kepada kita? kesemua perbuatan ini adalah haram. Oleh
itu usahlah kita mengambil sifat ini sebagai pegangan kita. Buatlah dan beramallah dengan
berdasarkan kemampuan. Usah semangat diawalnya akhirnya behenti di pertengahan jalan..


Allah dan RasulNYA lebih mengetahui...

syukran jaziilan...

Tuesday, November 13, 2007

sekadar 'refresh'...

'alaina wa 'alaikum assalam...

Yang layak di puji dan di di syukuri hanyalah Allah s.w.t.. Selawat dan salam buat junjungan mulia Muhammad s.a.w, ahli keluarga serta sahabat, para tabi'in dan mereka yang mengikuti jalan Allah hingga hari kebangkitan.

Solat atau sembahyang lima waktu telah diwajibkan keatas kita yang bergelar muslim tidak kira lelaki mahupun perempuan.
Setiap sesuatu pasti akan terdapat sesuatu yang lain yang mesti ada di dalamnya dan jika sesuatu yang lain itu tidak dipenuhi,
maka tidak sempurnalah sesuatu itu..

Di dalam solat, tidak kira sana ada solat fardhu yang lima mahupun solat2 sunat yang lain, terdapat lima perkara yang wajib
didengari paling kurang oleh telinga orang yang mengerjakan solat itu sendiri. Jika ianya tidak didengari, tidak sahlah solatnya.

Lima perkara itu ialah :

1) Takbiratul ihram
2) Bacaa al-Fatihah di setiap rakaat
3) Tashahhud
4) Selawat ke atas nabi s.a.w
5) Salam yang pertama

Maka, kembalilah pada solat kita sama ada kelima2 perkara ini, didengari oleh kita sendiri atau pun tidak.
Sesungguhnya, solat itu merupakan amalan yang pertama dihisab di hari perhitungan. Jika sempurna solat kita,
maka sempurnalah amalan2 yang selebihnya, jika tidak, begitulah juga amalan2 lain.

Allah dan RasulNYA lebih mengetahui...

syukran jaziilan...

Thursday, October 11, 2007

Nur keampunan di Aidilfitri

Salama lebaran buat semua...
segala puji dan puja hanya untuk NYA, selawat dan salam untuk Rasulullah,ahli keluarga
dan para sahabat baginda...

Nur Keampunan di Aidilfitri
Bila tiba hari raya
semua insan bergembira
tetapi bagiku hanya kesedihan
yang menyelubungi hidup
Dosa dan juga ma'siat
bersarang di hatiku
layakkah diriku
meraikan syawal kali ini
Siapakah yang sudi
menghulurkan bantuan
kepada diriku ini
tatkala berada di mahsyar nanti
ku meminta dan berdoa
kepada yang maha Esa
rahmatilah hidupku
berilah Nur keampunan di pagi Aidilfitri
semoga madrasah tarbiah ramadhan, tidak berlalu begitu sahaja, malah harapnya ia berlalu dengan
meninggalkan kesan yang amat mendalam di lubuk sanubari kita..semoga kita semua
dipertemukan dengan Ramadhan pada tahun yang berikutnya..
Sambutlah kemenangan di bulan Syawal tanpa ada membuat dosa kepada empunya Alam ini..
Bergembiralah tanpa melanggar adab dan batasan yang telah ditetapkan pemilik kita semua..
Selamat menyambut Syawal yang mulia
maaf zahir dan Batin
syukran jaziilan...

Wednesday, September 12, 2007

Ramadhan 2 zaman...

salam ramadhan buat semua...

Ramadhan ertinya kita serupa, peluangnya sama.
natijah berbeza
Begitulah sama ratanya peluang beribadah yang diberikan Allah s.w.t kepada semua umat Islam melalui bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan, yang membezakan antara kita semua ialah natijah sesudah bulan Ramadhan berlalu meninggalkan kita nanti. Oleh itu, rebutlah peluang ini sebaik2nya, terpulang pada diri masing2 bagaimana untuk memanafaatkan peluang ini..
Ramadhan mereka gemilang cemerlang mukmin berjasa di awal zaman
ramdhan kami malang terbuang mukmin berdosa di akhir zaman
Umat Islam di awal zzaman, amat berbeza dengan umat Islam di zaman kita sekarang ini dari segi penghayatan Ramadhan dan sebagainya. Ramadhan mereka dipergunakan dengan sebaik2nya kerana Ramadhan hanya datang setahun sekali. Ramadhan umat di zaman sekarang iaitu kita semua amat jauh berbeza. Kita penuhi bulan yang mulia ini dengan dosa dan noda seolah2 tiada beza antara bulan Ramadhan dan bulan2 yang lain.
Mereka gembira kerana kedatanganmu,
kami gembira dengan pemergianmu
Mereka (umat terdahulu) akan rasa terlalu gembira apabila dikhabarkan dengan kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak dan mereka akan bersedih dengan pemergian bulan yang penuh dengan keberkatan ini, kerana mereka sedih dan khuatir seandainya mereka tidak berpeluang lagi untuk bertemu dengan bulan Ramadhan pada tahun yang akan datang. Dalam bulan Ramadhanlah, pahala segala ibadah digandakan dan doa diterima. Tetapi apa yang berlaku dengan kita pada hari ini amat berbeza, kita lebih gembira dengan pemergian ramadhan, kita akan sibuk mengemas rumah, mengganti itu dan ini khususnya di penghujung Ramadhan kerana ingin menyambut kedatangan Syawal yang belum tentu layak bagi kita untuk menyambutnya...
Malam mereka meriah disimbah nur al-Quran,
tapi malam kami muram bertemu dengkur...
Mereka mengisi malam2 Ramadhan mereka dengan pelbagai ibadah sunnah. Gelap malam mereka disinari dan diterangi dengan nur al-Quran dan qiamullail. Mereka rasa amat rugi jika menghabiskan malam di bulan ini dengan melelapkan mata. Kita, malam kita hanya dihiasi dengan bunyi dengkuran di atas katil. Malam Ramadhan kita tidak secerah malam mereka. Adakah kita tidak terasa apa2 kerugian dengan membiarkan malam2 di bulan Ramadhan pergi begitu sahaja?
Mereka berlumba mengejar maghfirah tapi kami lesu di buru nafsu
hati mereka bercahaya di gilap taqwa
jiwa kami gelap di dera dosa
Mereka akan sentiasa berlumba diantara mereka dalam mencari keampunan Allah disepanjang bulan yang mulia ini. Hati2 mereka akan sentiasa bercahaya setelah digilap dengan taqwa yang sebenarnya. Tapi kita di zaman ini, tidak punya semangat seperti mereka, kita terus lesu di buru dan i buai nafsu. Manakala hati2 kita, terus gelap didera dosa yang timbul dari hasutan nafsu dan syahwat.. Layakkah kita menyambut Syawal dengan keadaan kita yang sebegini rupa?
Takbir mereka takbir kemenangan hadiah mujahadah sebulan ramadhan,
takbir kami lesu tak bermaya tanda kalah lemah tak berdaya
puasa sekadar lapar dan dahaga
Menjelangnya satu Syawal, takbir bergema tanda kemenangan. Tapi takbir ini hanya berhak dimiliki mereka yang benar2 bermujahadah disepanajang bulan Ramadhan dalam melawan hasutan hawa nafsu. Mereka, umat Islam di awal zaman yang benar2 mujahadah melawan nafsu dan menghidupkan Ramadhan, merekalah yang layak bergembira di hari raya dan dalam pada ini pun mereka masih mengatakan mereka tidak layak menyambut Syawal. Kita di zaman ini, yang tidak pernah menghargai kehadiran Ramadhan, kalah dengan hasutan nafsu dan syahwat, mengaku yang kita layak menjadi orang yang meraikan kemenangan di bulan Syawal. Sedarkah kita akan semua ini? apakah kita tidak terasa sedikit malu pun kepada diri sendiri dan paling tinggi kepada Allah? puasa tak seberapa, tapi persiapan raya tidak terkata...
Takbir umat di awal zaman, merupakan takbir kemenangan, hadiah buat mereka yang telah bermujahadah di bulan Ramadhan, takbir kita pula, hanya lesu dan penuh tidak bermaya, itu tandanya kita kalah dan lemah tidak berdaya. Puasa kita hanya sekadar menahan lapar dan dahaga. Kembalilah kita semua kepada jalan yang sebenarnya selagi kita masih berpeluang bertemu Ramadhan ini...
Puasa itu mampu untuk menyucika dosa. Oleh itu sambutlah gerbang Ramadhan ini dengan meriah seperti mana meriahnya kita menyambut kedatangan Syawal. Jika ada istilah 'raya sakan' mengapa pula tiada istilah 'puasa sakan' ? hormatilah Ramadhan, hayatilah ia dan pergunakanlah ia agar kita semua di rahmati Allah dan tidak tergolong dalam golongan orang yang rugi kerana mensia2kan Ramadhan..
Syukran jaziilan...

Sunday, August 19, 2007

Di sebalik Nama...

salam untuk semua...

'Budak Irbid Buta'(B.I.B) adalah satu nama yang dimbil tuan punya blog ni sempena nama kugirannya dalam satu persembahan di irbid,Jordan. Saya ingin bercerita sedikit mengenai nama ini dan kaitannya dengan tuan punye blog ni..
Tuan punye blog ni mencipta nama blog ni sewaktu berada di Irbid,Jordan. Perkataan buta diambil berdasarkan matanya yang telah pun buta sebelah,iaitu belah kanan dan sekarang dia hanya melihat dengan menggunakan tak sampai setengah mata!
Matanya ditarik sejak tahun 2000 dan kini telah masuk tempoh tujuh tahun die berkeadaan seperti ini.Cerita ini bukan untuk menagih simpati dan bantuan dari sesiapa pun tapi sekadar untuk memberitahu kepada mereka yang masih tak tahu.
Mata kirinya yang kini hanya tinggal tak sampai 5% lah yang membantu die untuk terus hidup dan bertahan lebih2 lagi di negara arab ini.
Kisah bermula pada akhir thn 1999 apabila matanya mula tak nampak pada waktu malam dan die akan nampak warna pelangi disetiap lampu putih dan setiap kali bangun dari tidur matanya akan terang seperti biasa.
Masuk awal 2000, keadaan matanya makin teruk,disangkakan power spek yang bertambah,tapi bukan,sebaliknya masalah besar yang melanda. Bulan April 2000, die ditahan di wad hospital sultanah aminah(HSA)Johor.
Menjalani operation mata kanan dan kiri pada pertengahan dan hujung bulan April. Keadaannya sekarang, bila berjalan,perlu menghafal dan membiasakan drinya dlm tempat yang die berada.
Bila mahu mengenal seseorang,die takkan dpt mengenali seseorang itu seperti manusia lain.Jumpe dan berbual hari ini, die akan lupe pada esok harinya kerana matanya sudah tidak lagi dapat cam seseorang itu melainkan seseorang itu mempunyai kelainan pada fizikal atau suara.Bila mahu bersalam dengan seseorang,orang itu perlu memegang tangannya kerana die takkan nmpak tangan orang yang ingin bersalam dengannya.Jika orang itu tak lakukan seperti ini,die takkan salaam orang itu dan janganlah menganggap die seorang yang sombong kerana tak bersalam dengan seseorang kerana itulah hakikat matanya.
Pada waktu malam yang tiada cahaya,lagi sukar baginya untuk berjalan sendirian melainkan jalan itu sudah biasa dilaluinya.Sudah beberapa kali die terhantuk pada tiang,pintu,terlanggar orang,rak buku dan lain2 lagi.
Bukan kehendaknya ingin jadi begini, tapi Allah berkehendakkan sepeti ini untuk die. Bagi mereka yang masih punyai mata yang sempurna, peliharalah mata kalian kerana bila sudah tiada mata atau sudah ditarik sebahagian dari mata kita, hidup seakan tiada apa erti. Ingat,'Biar patah dari buta'..

Harap,selepas membaca ruangan ini,bagi mereka yang tak tahu keadaan tuan empunya blog ini,dapatlah memahami keadaannya.Janganlah anggap die seorang yang sombong atau tak ingat kawan dan sebagainya.Sesungguhnya,mereka yang mengenalinya,lebih tahu dia seorang yang bagaimana...
Terima kasih diatas segala sokongan dan bantuan..

Syukran jaziilan..

Sunday, August 12, 2007

ni'mat terasa bila ditarik...

Terkadang manusia leka dengan setiap ni'mat yang dihamparkan pada mereka,hanya tersedar bila diuji.
Terdapat juga manusia yang setelah diuji masih lagi tidak sedar.

Segala ni'mat yang diberikan Allah kepada kita wajib untuk disyukuri.Usahlah kita terasa ni'matnya kurniaan Allah setelah segalanya diambil semula.
Tak perlu kita melihat pada ni'mat yang jauh dari kita. Cukuplah kita merenungkan tentang ni'mat anggota badan kita yang dikurniakan dan diciptakan sesempurna ini.

Apakah dengan kita mempunyai dua mata dan telinga, dua kaki dan tangan, satu hidung,,lidah dan sebagainya. Ada manusia yang menggunakan semua pemberian ini pada tempat yang sepatutnya dan ada pula yang sebaliknya.
Ada juga yang setelah ditarik sebahagian dari ni'mat ini, baru tersentak dan terasa akan kehilangannya. Sebagai contoh, ni'mat mata yang tiada gantinya bila diambil semula melainkan dengan izin Allah untuk memberikannya buat kali ke dua. Agak beruntung bila manusia yang diambil penglihatannya, dia terasa dirinya banyak membuat dosa melalui mata.
Agak malang dan mengapa harus ada segelintir manusia yang bila ni'mat penglihatannya diambil sedikit masih lagi punyai keinginan untuk melihat apa yang tak sepatutnya dilihat.Bila sebelah tangannya diambil masih lagi mahu mencuri. Bilakah golongan seperti ini akan terjaga dari kelalaian walaupun telah ditegur..

Bagi mereka yang tidak pernah diuji dengan sebarang ujian atau penyakit dan sebagainya, janganlah sesekali rasa bangga dan senang duduk kerana antara tanda kasih sayang Allah ialah dengan menguji kita dengan sesuatu ujian atau penyakit, kerana salah satu cara Allah ingin menghapuskan dosa kita adalah dengan memberi ujian pada kita.
Jika kita tidak diuji dengan sebarang ujian, kita harus muhasabah semula diri kita kerana ditakuti kita sudah terlalu jauh dengan kasih sayang Allah sedangkan kasih dan cinta Allah itulah yang patut kita tagih.

Selama ini kita leka dengan ni'mat sehingga kita terjerumus ke dalam dosa. Selama ini kerana ni'mat, kita jauh dari Allah. Selama ini kita ingkar pada Allah sedangkan Allah telah banyak memberi kita ni'mat yang tidak mampu dihitung.
Bangunlah kita semua dari segala kelalaian dan kealpaan kita terhadap ni'mat duniawi yang tiada kekalnya. Kita tidak tahu bila ajal kita akan bertamu dan di mana jasad kita akan disemadikan. Dari itu bersedialah kita pada setiap ketika. izrael seringkali menjenguk kita pada setiap hari dan kita hanya menunggu masa untuk Izrael menjenguk kita dengan tujuan untuk membawa kita kembali pada Allah...Semoga Allah memberi kasih dan ampunNYA pada kita semua..

Syukran jaziilan...

Friday, August 3, 2007

ujian hadiah tuhan

assalamu'alaikum wrm wbt

Segala puji dan syukur di panjatkan hanya pada Allah rabbul 'izzati di atas segala ni'mat dan ujian yang dihadiahkan buat kita semua hamba ciptaanNYA..selawat dan salam keatas penghulu sekalian nabi,Muhammad bin Abdullah S.A.W,ahli keluarga baginda,para sahabat,tabi'in,tabi' tabi'in dan mereka yang menuruti sunnah Allah dan RasulNYA hingga hari perhitungan...

Tidak beriman seseorang itu jika tidak diuji oleh Allah S.W.T sepanjang nafasnya masih lagi berlegar keluar masuk dari tubuhnya.Tidak dikatakan pelajar seseorang itu jika tidak menduduki peperiksaan sepanjang perjalanannya menuntut ilmu. Tidak dikatakan gagah seseorang itu jika tidak diuji kegagahan yang ada padanya dan begitulah seterusnya..

Dari apa segi sekali pun,kita harus bersyukur dan berterima kasih pada pemilik kita, Allah 'azza wajalla diatas setiap sesuatu yang Dia berikan dan hadapkan pada kita.Berupa ni'mat mahupun ujian.

Manusia selalulnya akan bergembira bila kesenangan dan keselesaan yang dikecapinya kini berterusan hingga bila-bila masa.Apabila diuji hanya untuk seketika, dia mula merungut dan tidak boleh terima apa yang dihadapkan padanya kini kerana dia sudah pun terbiasa dengan kesenangan,lalu dia tidak pernah bersedia untuk menhadapi ujian walaupun ujian tu hanya sesuatu yang ringan..

Manusia yang telah terbiasa hidupnya diuji, pasti mereka akan lebih tenang setiap kali ujian datang bertandang walaupun tak pernah diundang, kerana mereka telah punyai persediaan menghadapinya berdasarkan kesusahan yang lepas. Apabila dia dihadiahkan kesenangan walau hanya sekejap cuma,dia akan rasa sangat bersyukur..

Ujian adalah hadiah dari Tuhan yang ingin melihat hambanya sama ada akan sabar atau sebaliknya bila diberi sesuatu ujian dariNYA. Mereka yang dapat bersabar dan redha dengan setiap pemberian Allah, merekalah orang yang beruntung.

Walaupun kita seringkali diuji dengan pelabagai ujian dan kadangkala ujian yang sama sering dihadapkan pada kita, kita perlu menganggapnya sebagai hadiah dari Allah untuk kita.Mungkin sekali sekala kita rasa seakan-akan Allah tidak menyayangi kita lagi kerana seringkali menguji kita tanpa henti, sedangkan itulah bukti Allah sayang kita. Manusia akan rasa sayang dengan kesenangan bukan ujian. Sesiapa yang diuji lalu dia mampu bersabar dan redha,Allah akan beri sebaik-baik ganjaran baginya.Bukankah ini tandanya Allah sayang kita? Cuma kita tak nampak ganjarannya,itu yang menyebabkan kita berburuk sangka pada Allah.


Setiap masalah,ujian dan dugaan yang dihadapkan untuk kita, pasti ada jalan keluarnya. Lebih beruntung bagi mereka yang benar-benar bertaqwa pada Allah, Allah akan menyediakan buatnya jalan keluar dari setiap masalah dan ujian tanpa ia sedari. Oleh itu, jika kita mahukan jalan keluar dari setiap ujian yang dihadapkan pada kita, kuatkanlah keyakinan kita pada Allah. Yakinlah, bahawa setiap ujian Allah itu adalah lambang kasih Allah buat kita.

Untuk mendapatkan kemanisan, pasti akan bertemu dengan kepahitan terlebih dahulu dan kemanisan yang kita inginkan itu, akan datang setelah kita tempuhi kepahitan dengan kesabaran dan tabah.

Hidup ini umpama satu pertandingan, ada peserta yang pada pusingan pertama diuji dengan sesuatu yang mudah tapi di pusingan yang terakhir dia diuji dengan sesuatu yang payah. Ada juga peserta yang pada pusingan pertama lagi telah diuji dengan kesusahan dan pusingan terakhir diberi kemudahan.Ada peserta dari awal hingga tamat pertandingan diuji dengan kesenangan sahaja dan ada peserta dari awal hingga tamat pertandingan diuji dengan kepayahan. Segala kesenangan yang diberi, jika ditempuh dengan kelalaian, peserta itu pasti akan tewas pada akhirnya dan setiap kesusahan yang diberi, jika dilalui dengan sabar,tabah dan bijaksana, pasti akan mencapai kejayaan diakhirnya kelak..


Syurga itu menagih ujian sedang neraka dipagari oleh ni'mat. Biar susah sedikit kerana Tuhan, untuk menghindar kesusahan yang besar, yang tidak sanggup ditanggung badan,ambillah i'tibar dari apa yang berlaku jika mahu sedar...

Oleh itu,jika kita diuji dengan sebarang kepayahan,keperitan dan segala bentuk ujian sekali pun, janganlah kita terus jatuh dan tidak mahu bangkit lagi. Ingatlah Allah tidak suka hambaNYA berputus asa. Malah Allah beri segala perit dan ujian buat kita adalah untuk menyedarkan kita dari kesilapan yang mungkin kita pernah lakukan tanpa sedar. Janganlah sesekali beburuk sangka pada Allah.Tagihlah rahmat dan keampunan Allah yang amat luas selagi langit masih terbuka, laut masih terbentang dan berombak, selagi angin masih bertiup nyaman dan selagi nyawa belum sampai ke pangkal halqum. Jika semua ini sudah tiada lagi, tatkala itu segala doa dan titisan air mata tidak ada nilainya lagi..

Semoga Allah memberi segala kekuatan kepada kita untuk hadapi segala ujian, terutamanya kekuatan Iman. Kembalilah pada Allah dalam setiap apa keadaan sekalipun. Semoga Allah memberkati dan merestui apa yang kita lakukan..

Syukran jaziilan...