Friday, August 3, 2007

ujian hadiah tuhan

assalamu'alaikum wrm wbt

Segala puji dan syukur di panjatkan hanya pada Allah rabbul 'izzati di atas segala ni'mat dan ujian yang dihadiahkan buat kita semua hamba ciptaanNYA..selawat dan salam keatas penghulu sekalian nabi,Muhammad bin Abdullah S.A.W,ahli keluarga baginda,para sahabat,tabi'in,tabi' tabi'in dan mereka yang menuruti sunnah Allah dan RasulNYA hingga hari perhitungan...

Tidak beriman seseorang itu jika tidak diuji oleh Allah S.W.T sepanjang nafasnya masih lagi berlegar keluar masuk dari tubuhnya.Tidak dikatakan pelajar seseorang itu jika tidak menduduki peperiksaan sepanjang perjalanannya menuntut ilmu. Tidak dikatakan gagah seseorang itu jika tidak diuji kegagahan yang ada padanya dan begitulah seterusnya..

Dari apa segi sekali pun,kita harus bersyukur dan berterima kasih pada pemilik kita, Allah 'azza wajalla diatas setiap sesuatu yang Dia berikan dan hadapkan pada kita.Berupa ni'mat mahupun ujian.

Manusia selalulnya akan bergembira bila kesenangan dan keselesaan yang dikecapinya kini berterusan hingga bila-bila masa.Apabila diuji hanya untuk seketika, dia mula merungut dan tidak boleh terima apa yang dihadapkan padanya kini kerana dia sudah pun terbiasa dengan kesenangan,lalu dia tidak pernah bersedia untuk menhadapi ujian walaupun ujian tu hanya sesuatu yang ringan..

Manusia yang telah terbiasa hidupnya diuji, pasti mereka akan lebih tenang setiap kali ujian datang bertandang walaupun tak pernah diundang, kerana mereka telah punyai persediaan menghadapinya berdasarkan kesusahan yang lepas. Apabila dia dihadiahkan kesenangan walau hanya sekejap cuma,dia akan rasa sangat bersyukur..

Ujian adalah hadiah dari Tuhan yang ingin melihat hambanya sama ada akan sabar atau sebaliknya bila diberi sesuatu ujian dariNYA. Mereka yang dapat bersabar dan redha dengan setiap pemberian Allah, merekalah orang yang beruntung.

Walaupun kita seringkali diuji dengan pelabagai ujian dan kadangkala ujian yang sama sering dihadapkan pada kita, kita perlu menganggapnya sebagai hadiah dari Allah untuk kita.Mungkin sekali sekala kita rasa seakan-akan Allah tidak menyayangi kita lagi kerana seringkali menguji kita tanpa henti, sedangkan itulah bukti Allah sayang kita. Manusia akan rasa sayang dengan kesenangan bukan ujian. Sesiapa yang diuji lalu dia mampu bersabar dan redha,Allah akan beri sebaik-baik ganjaran baginya.Bukankah ini tandanya Allah sayang kita? Cuma kita tak nampak ganjarannya,itu yang menyebabkan kita berburuk sangka pada Allah.


Setiap masalah,ujian dan dugaan yang dihadapkan untuk kita, pasti ada jalan keluarnya. Lebih beruntung bagi mereka yang benar-benar bertaqwa pada Allah, Allah akan menyediakan buatnya jalan keluar dari setiap masalah dan ujian tanpa ia sedari. Oleh itu, jika kita mahukan jalan keluar dari setiap ujian yang dihadapkan pada kita, kuatkanlah keyakinan kita pada Allah. Yakinlah, bahawa setiap ujian Allah itu adalah lambang kasih Allah buat kita.

Untuk mendapatkan kemanisan, pasti akan bertemu dengan kepahitan terlebih dahulu dan kemanisan yang kita inginkan itu, akan datang setelah kita tempuhi kepahitan dengan kesabaran dan tabah.

Hidup ini umpama satu pertandingan, ada peserta yang pada pusingan pertama diuji dengan sesuatu yang mudah tapi di pusingan yang terakhir dia diuji dengan sesuatu yang payah. Ada juga peserta yang pada pusingan pertama lagi telah diuji dengan kesusahan dan pusingan terakhir diberi kemudahan.Ada peserta dari awal hingga tamat pertandingan diuji dengan kesenangan sahaja dan ada peserta dari awal hingga tamat pertandingan diuji dengan kepayahan. Segala kesenangan yang diberi, jika ditempuh dengan kelalaian, peserta itu pasti akan tewas pada akhirnya dan setiap kesusahan yang diberi, jika dilalui dengan sabar,tabah dan bijaksana, pasti akan mencapai kejayaan diakhirnya kelak..


Syurga itu menagih ujian sedang neraka dipagari oleh ni'mat. Biar susah sedikit kerana Tuhan, untuk menghindar kesusahan yang besar, yang tidak sanggup ditanggung badan,ambillah i'tibar dari apa yang berlaku jika mahu sedar...

Oleh itu,jika kita diuji dengan sebarang kepayahan,keperitan dan segala bentuk ujian sekali pun, janganlah kita terus jatuh dan tidak mahu bangkit lagi. Ingatlah Allah tidak suka hambaNYA berputus asa. Malah Allah beri segala perit dan ujian buat kita adalah untuk menyedarkan kita dari kesilapan yang mungkin kita pernah lakukan tanpa sedar. Janganlah sesekali beburuk sangka pada Allah.Tagihlah rahmat dan keampunan Allah yang amat luas selagi langit masih terbuka, laut masih terbentang dan berombak, selagi angin masih bertiup nyaman dan selagi nyawa belum sampai ke pangkal halqum. Jika semua ini sudah tiada lagi, tatkala itu segala doa dan titisan air mata tidak ada nilainya lagi..

Semoga Allah memberi segala kekuatan kepada kita untuk hadapi segala ujian, terutamanya kekuatan Iman. Kembalilah pada Allah dalam setiap apa keadaan sekalipun. Semoga Allah memberkati dan merestui apa yang kita lakukan..

Syukran jaziilan...

6 comments:

tukang gebang said...

ye ye..jadi org pertama komen kat blog nih..mantap blog abg nih..syabas!!teruskan usaha anda!

Unknown said...
This comment has been removed by a blog administrator.
mujahid86 said...

an excellent post. good job!!

madt said said...

insyaAllah semoga hidup abg hilmi dipermudahkan allah walaupun abg hilmi hidup dlm kekurangan.. kami sedia menyokong abg hilmi dr belakang..

p/s: saye pun kalu bukak spek mcm org bute gak.. bukan nye nampak jelas pun, kdg2 siap terlanggar pintu segale hehe

Unknown said...

truskn b'karya abg helmi

Mawar Berduri said...

" ujian adalah tarbiyah dari ALLAH..
apakah kita kan sabar ataupun sebaliknya.."

insyaALLAH sama2lah kita bersabar dengan ujian dariNya..